Perang Dunia II dan Ladang Binatang George_Orwell

Selepas kepulangannya ke Britain, Blair menyara dirinya sendiri melalui penulisan ulasan bebas, khususnya untuk Mingguan New English (sehingga beliau berpisah kerana tidak bersetuju dengan pasifisme mingguan itu pada 1940) dan kemudiannya untuk Time and Tide. Beliau menyertai Pengawal Tanah Air British (British Home Guard) tidak lama selepas peperangan bermula (dan kemudiannya dianugerahi dengan "Bintang Pertahanan Kempen British".

Pada tahun 1941, Blair bertugas untuk Perkhidmatan Timur BBC. Kebanyakan daripada kerjanya terdiri daripada membuat rancangan untuk memperoleh sokongan India dan Asia Timur untuk usaha perang Britain. Blair sedar bahawa beliau tengah membentukkan propaganda, dan menulis bahawa beliau berasa seolah-oleh "sebuah limau yang dipijak oleh but yang amat kotor". Oleh sebab perkhidmatannya adalah di bawah Kementerian Maklumat yang berasas di Rumah Senat (Universiti London), beliau sebenarnya bertugas untuk kedua-dua jabatan — institusi itu serta bangunannya menjadi ilham untuk Kementerian Kebenaran dalam novel "Sembilan Belas Lapan Puluh Empat".

Walaupun gajinya baik, Blair meletak jawatan pada 1943 untuk menjadi penyunting sastera bagi majalah Tribune yang merupakan mingguan sayap kiri. Blair bertugas di sana sehingga awal 1945, dan menyumbang ruang tetap bertajuk "Mengikut Kesukaan Saya" ("As I Please").

Pada 1944, selepas berpindah sementara waktu dari rumah pangsa Londonnya yang telah dibom ke Greystone, sebuah desa berdekatan Carlton, Stockton-on-Tees, Blair menghabiskan alegori anti-Stalinis yang bertajuk Ladang Binatang. Novel itu diterbit pada tahun yang berikut dan menerima sambutan yang amat baik. Royalti daripada Ladang Binatang memberikan Blair pendapatan yang cukup selesa buat kali yang pertama dalam kehidupan dewasanya.

Sewaktu Ladang Binatang masih dicetak, Blair meninggal Tribune untuk menjadi koresponden Observer. Beliau adalah sahabat rapat kepada David Astor, pemilik serta penyunting Observer, dan gagasan-gagasannya mempunyai pengaruh yang sungguh kuat kepada dasar-dasar lidah pengarang Astor. (Astor, yang mati pada 2001, dikebumikan di sebelah makam Blair.) Bagaimanapun, beliau cuma bertugas dengan Observer untuk suatu tempoh yang singkat.